Dengki sifat tercela
Dengki
adalah sifat keji dan tercela. Islam
menegah keras umatnya berdengki. Banyak
keburukan lahir akibat dengki yang boleh melemahkan perpaduan ummah.
Banyak
ayat al-Quran dan hadis menjelaskan tentang keburukan akibat dengki. Dengki adalah satu niat untuk mencari jalan
atau tindakan untuk menghilangkan kekayaan, kedudukan, kejayaan dan kebaikan
yang diperoleh oleh orang lain.
Dengki biasanya timbul daripada perasaan dendam,
cemburu, marah, benci dan niat jahat. Dengki adalah sifat iblis. Akibat sifat dengki yang menguasai iblis
telah mengubah daripada beriman kepada durhaka kepada Allah.
Iblis menyimpan perasaan dengki terhadap Adam yang
dipilih Allah menjadi khalifah di muka bumi.
Iblis dan seluruh keturunan
syaitan termasuk golongan laknat disebabkan sifat dengki.
Jelas
sekali betapa buruknya kesan dengki. Sesiapa terdapat dalam dirinya sifat dengki, dia mudah dipengaruhi
syaitan. Syaitan berusaha menyesatkan
manusia sepertimana dia menjadi sasat.
Allah
memberi peringatan kepada manusia tentang niat syaitan dalam firman-Nya
bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang
sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisa, ayat
60).
Dengki
tergolong dosa besar. Sifat itu bukan
sekadar menambah dosa, tetapi juga mengurangkan himpunan pahala. Orang mengamalkan sifat dengki akan mengalami
muflis di akhirat apabila kebaikan yang diperoleh melalui amalan lain binasa
dek kerana sifat dengki.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Dengki itu memakan (membinasakan) kebajikan (pahala),
sebagaimana api memakan (membakar) kayu yang kering.” (Hadis riwayat Abu Daud
dan Ibnu Majah).
Perbuatan
dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan
buruk. Perbuatan itu boleh berlaku
melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti
memukul dan membunuh.
Pembunuhan
pertama sesama manusia berpunca perasaan dengki. Peristiwa itu melibatkan Qabil dan Habil, dua anak Nabi Adam yang berebut
pasangan untuk dijadikan isteri. Kisah
tersebut dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Maidah, ayat 27 bermaksud:
“....Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!.”
Api
kemarahan dan dengki Qabil tidak dapat dikawal sehingga sanggup membunuh
Habil. Sejarah itu menjadi panduan
syaitan mencari kelemahan manusia dan menggunakan sepenuhnya untuk merosakkan
manusia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.