Thursday, 15 July 2021

Sebar berita tidak benar, 10 individu dicekup

 

Sebar berita tidak benar, 10 individu dicekup


Seramai 10 individu ditahan kerana menularkan berita tidak benar mengenai Covid-19 atau Proklamasi Darurat mengikut ordinan darurat yang diwartakan pada 11 Mac lalu. - GAMBAR HIASAN

GARA-GARA menularkan berita tidak benar mengenai Covid-19 atau Proklamasi Darurat mengikut ordinan darurat yang diwartakan pada 11 Mac lalu, seramai 10 individu ditahan polis secara berasingan termasuk tangkapan terbaharu di Tengah Melaka, Melaka.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sehubungan itu berkata, sebanyak 21 kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) ordinan berkenaan sejak ia dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.

Menurutnya, siasatan kes dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen.

“Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu) (no. 2) 2021 yang diwartakan berkenaan adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

“Ia sekali gus memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKKM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai tangkapan itu Acryl Sani menjelaskan,  sebanyak sembilan individu diberkas secara berasingan yang disiasat mengikut ordinan terbabit dan terbaharu satu lagi tangkapan dibuat di kawasan Melaka Tengah, Melaka sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan ditahan seramai 10 orang.

Ujarnya, daripada jumlah itu, tiga tangkapan menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara mengikut ordinan terbabit manakala tujuh lagi dijamin polis sehingga siasatan dilengkapkan.

“PDRM sehubungan itu menasihatkan orang ramai berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Acryl Sani pada masa sama  menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

EDISI SIASAT PEMFITNAH

CHARACTER ASSASSINATION  Mungkinlah niat asal Edisi Siasat nak bongkar perangai-perangai jahat polis yang tak amanah, tapi makin lama nampa...